Materi 10 : SYIRIK

Do’a Sebelum Belajar
رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا، وَارْزُقْنِيْ فَهْمًا وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الصَّالِحِيْنَ
Robbii Zidnii ‘Ilmaa, Warzuqnii Fahmaa, Waj’alnii Minash-Shoolihiin Amiin Ya Robbal ‘Aalamiin
Artinya : Ya Alloh Tambahkanlah aku ilmu, Dan berilah aku karunia untuk dapat memahaminya, Dan jadikanlah aku termasuk golongannya orang-orang yang shoolih. Ya Alloh kabulkanlah do’aku ini.

DEFINISI SYIRIK
Syirik adalah menyembah tuhan selain Allah SWT. Orang-orang yang menyembah selain Allah bermakna menyekutukan (menganggap Allah berkongsi kekuasaan dengan makhluk ciptaan-Nya). Allah SWT berfirman dalam ayat di bawah yang bermaksud,
“...Janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah SWT, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat: 22)
Amalan syirik merupakan dosa besar seperti dilaporkan dalam hadis di bawah ini yang bermaksud, bahawa syirik merupakan dosa besar.
Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dosa yang paling besar kepada Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab, “Menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu sedangkan Dia menciptakan engkau.”
(Dilaporkan daripada Sahih Bukhari)


JENIS-JENIS SYIRIK
Amalan syirik dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu
1. Syirik yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah SWT
a. Syirik perkongsian iaitu mempercayai bahawa terdapat entiti lain selain Allah SWT yang berkongsi sifat-sifat Allah SWT secara keseluruhan atau sebahagian.
1. Penganut Hindu percaya bahawa Tuhan Brahman berkuasa secara total dan eternal yang menjadikan segala-galanya. Walau bagaimanapun, Brahman dijelmakan kepada tiga entiti yang berbeza iaitu Brahma sebagai pencipta, Vishnu sebagai pentadbir dan Shiva sebagai pemusnah.
2. Penganut Kristian percaya bahawa Tuhan Yang Esa dijelmakan ke dalam tiga bentuk iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak (Yesus) dan Roh Kudus. Mereka mengan ggap ketiga entiti tersebut ini berkongsi kekuasaan, Tuhan Bapa bertugas sebagai pencipta alam semesta manakala Tuhan Anak bertugas dalam penyusunan alam semesta dan Roh Kudus bertugas memberikan petunjuk (hidayah) kepada manusia.
3. Sebahagian Muslim pula percaya bahawa roh orang-orang alim atau wali boleh memberi manfaat dalam urusan dunia walaupun mereka telah mati. Oleh, mereka melakukan pemujaan ke atas kubur alim ulama, amalan ini termasuk dalam amalan syirik.
b. Syirik penafian bermakna menafikan kewujudan tuhan. Sungguhpun kewujudan tuhan tidak ditolak secara keseluruhan tetapi menafikan kewujudan Tuhan (Pantheis). Contohnya ialah:
• Firaun menolak kewujudan Tuhan dan mendakwa dirinya adalah tuhan seperti dilaporkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu memanggil kaumnya sambil berkata, ‘Akulah tuhanmu yang paling tinggi.’ ”(Surah Naaziaat, ayat: 23 hingga 24)
• Ahli-ahli Falsafah Moden di Eropah yang menolak kewujudan Tuhan dengan teori “Death of God Philosophy” iaitu “Falsafah Kematian Tuhan”. Seorang ahli falsafah daripada Jerman yang bernama Philip Mainlander (1841-1876) di dalam tulisannya “The Philosophy of Redemption” menyatakan bahawa alam semesta mula wujud dengan kematian tuhan.
• Sebahagian Muslim menyakini bahawa Allah SWT adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Allah SWT. Konsep ini gagal memisahkan antara Allah SWT dan makhluk ciptaan-Nya, sehingga menafikan kewujudan tuhan secara tidak langsung.
2. Syirik yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah SWT
a. Allah SWT digambarkan dengan sifat-sifat makhluk dan makhluk diberikan dengan sifat-sifat Allah SWT. Contohnya, jika tidak ada polis maka saya telah dirompak. Amalan tersebut meletakkan sifat manusia sama seperti sifat Allah SWT.
b. Menyamakan sifat Allah SWT dengan sifat-sifat makhluk atau menyamakan makhluk dengan sifat-sifat Allah SWT. Contohnya ialah:
• Allah SWT digambarkan melalui patung-patung atau lukisan seperti bentuk manusia. Penganut Hindu menciptakan pelbagai patung sebagai manifestasi kepada tuhan manakala penganut Kristian melukiskan tuhan sebagai seorang lelaki tua dari Eropah yang mempunyai janggut yang panjang, tidak berpakaian dan berdiri di atas syiling Sistine Chapel di Vatican yang dilukiskan oleh Michael (1565).
• Syirik pada zaman moden adalah berdasarkan Teori Relativity Einstein € = mc2 (energy is a equal to mass times the square of the speed of light) menyatakan bahawa tenaga tidak dapat dicipta dan dimusnahkan, ia berubah menjadi matter dan sebaliknya. Sedangkan “matter” dan tenaga adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dan boleh dimusnahkan seperti yang dilaporkan dalam ayat di bawah ini.
“Allah SWT menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”
(Surah a-Zumar, ayat: 62)
Allah SWT dapat menciptakan dan membinasakan ciptaan-Nya seperti dilaporkan dalam ayat di bawah yang bermaksud,
“Semua yang ada di bumi pasti akan binasa.” (Surah ar-Rahman, ayat: 26)
3. Syirik yang berkaitan dengan amal ibadah yang berlaku apabila ibadah tersebut ditujukan kepada selain Allah SWT dan mengharapkan manfaat selain daripada Allah SWT. Syirik ini terbahagi kepada dua iaitu syirik besar dan syirik kecil.
Perbezaan syirik besar dan syirik kecil
1. Syirik besar membatalkan akidah manakala syirik kecil tidak membatalkan akidah.
2. Syirik besar menghapuskan semua amalan baik manakala syirik kecil hanya menghapuskan amalan yang berkaitan dengan amalan syirik tersebut sahaja.
3. Syirik kecil akan diampunkan apabila bertaubat sedangkan syirik besar tidak diampunkan oleh Allah.
a. Amalan-amalan yang termasuk syirik kecil
1. Riyak ialah menyembah Allah SWT dengan cara menunjuk-nunjuk kepada manusia. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Maka celakalah bagi orang-orang yang solat iaitu orang-orang yang lalai dalam solatnya, orang-orang yang berbuat riyak.” (Surah al-Ma’un, ayat: 4 hingga 6)
Riyak adalah melakukan sesuatu amalan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain seperti dilaporkan dalam hadis berikut,
“Tidak ada yang lebih saya risaukan terhadap kamu lebih daripada bahaya dajal iaitu syirik yang tersembunyi iaitu semasa mendirikan solat supaya dilihat oleh orang lain.”
(Dilaporkan daripada Ibnu Majah)
2. Mempercayai manusia mempunyai kekuasaan melebihi Allah SWT. Contoh, percaya penyakit sembuh kerana rawatan doktor bukan kerana Allah SWT.
3. Bersumpah menggunakan nama selain nama Allah SWT seperti dilaporkan dalam hadis berikut,
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bersumpah selain daripada Allah SWT termasuk syirik kecil.”
Dalam hadis yang lain dilaporkan bahawa,
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bersumpah, hendaklah bersumpah dengan nama Allah SWT ataupun diam.” (Dilaporkan daripada Sahih Muslim)
a. Amalan-amalan syirik besar
1. Menyembah selain Allah SWT.
Syirik ini mudah dikesan kerana menyembah selain Allah SWT secara terang-terangan seperti menyembah pokok atau batu besar.
2. Memohon pertolongan kepada orang mati.
Syirik ini dilakukan dengan menziarahi kubur-kubur ulama dan berdoa di kubur tersebut. Syirik jenis ini sukar dikesan kerana:
a. Mereka tidak mengkhususkan doa memohon perlindungan daripada kubur tersebut.
b. Mereka yakin orang yang diminta perlindungan tersebut bukan pencipta tetapi hanya penghubung antara mereka dengan Allah SWT. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Kami tidak menyembah mereka, melainkan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sedekat-dekatnya.” (Surah Az-Zumar, ayat: 3)
Ayat di atas menjelaskan bahawa orang-orang yang menyembah berhala sedar bahawa amalan tersebut bercanggah dengan akidah Islam. Mereka mengatakan bahawa amalan tersebut dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT semata-mata. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Mereka menyembah selain Allah SWT yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan juga tidak memberikan manfaat dan mereka berkata, ‘Mereka itulah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah SWT.’ ” (Surah Yunus, ayat: 18)
Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada satu pun ciptaan-Nya yang dapat memberikan kebaikan kepada manusia kecuali dengan kehendak-Nya.
3. Percaya ciptaan Allah SWT mempunyai kekuatan ghaib
• Percaya kepada Bomoh
Sebahagian muslim mendapatkan kejayaan dengan menjumpai bomoh, amalan ini termasuk dalam amalan syirik. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Sebahagian mereka beriman kepada Allah SWT kecuali semasa menyekutukan Allah SWT. (Surah Yunus, ayat: 106)
Mereka menyekutukan Allah SWT dengan ciptaan-Nya tetapi pada masa yang sama mereka beriman. Mereka beranggapan bahawa amalan tersebut untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
• Percaya roh yang telah mati boleh bangkit semula dan menghantui manusia, oleh itu mereka membakar kemenyan untuk menyambut kepulangan roh tersebut. Amalan ini merupakan peninggalan kepercayaan agama Hindu yang masih melekat di kalangan masyarakat melalu muslim.
• Percaya kepada azimat
Azimat adalah suatu benda yang dipercayai mempunyai kekuatan ghaib yang dapat menyembuhkan penyakit atau menyelamatkan pemakai daripada musibah. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Jika Allah SWT menimpakan suatu musibah kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkan melainkan Dia. Jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia maha kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-An’am, ayat: 17)
Sebahagian Muslim mempercayai bahawa azimat dapat memberikan kebaikan dan keburukan kepada mereka. Azimat yang lazim digunakan adalah batu permata dan taring babi hutan.
• Percaya kepada sihir  
Sihir ialah melakukan amalan tertentu untuk menolak kejahatan dan mendapatkan kekuatan ghaib dengan bantuan jin. Jampi diharamkan kerana memohon selain kepada Allah SWT. Allah SWT mengajar manusia untuk berlindung daripada pengaruh sihir seperti dalam firman Allah SWT di bawah ini yang bermaksud,
“Dan daripada kejahatan perempuan-perempuan tukang sihir yang menghembuskan pada buhul-buhul.” (Surah Al-Falaq, ayat: 4)
Islam juga melarang menjumpai tukang sihir kerana mereka mengamalkan amalan syirik. Orang-orang yang mengamalkan sihir akan meramal tentang nasib seseorang ataupun perasaan yang tersirat pada seseorang. Bahkan Islam melarang belajar ilmu sihir seperti dilaporkan dalam hadis yang bermaksud,
“Siapa yang mempelajari salah satu bidang daripada perbintangan, maka ia telah mempelajari sihir.” (Dilaporkan daripada Abu Daud)
Mengikut hadis di atas Rasulullah SAW melarang umatnya untuk belajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan syirik. Misalnya seperti ilmu perbintangan yang dapat meramalkan masa depan seseorang. Larangan tersebut kerana tidak ada sesiapa mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Katakanlah tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT.” (Surah An-Naml, ayat: 65)
Ayat di atas menjelaskan bahawa tidak ada sesiapa pun mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali Allah SWT. Sihir yang diamalkan oleh dukun atau tukang tilik nasib menggunakan bantuan jin untuk meramal perkara-perkara yang akan datang.
Kadangkala tersebut secara kebetulan ramalan tepat. Sungguhpun demikian, ramalan dukun tidak boleh dipercayai kerana jin tidak mengetahui perkara-perkara ghaib seperti diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Maka semasa ia tersungkur, tahulah jin bahawa sekiranya mereka mengetahui perkara ghaib, pasti mereka tidak akan kekal dalam seksa yang menghinakan.”
(Surah Saba, ayat: 14)
Selain mengamalkan tenung, dukun juga mengamalkan ilmu pengasih yang sering digunakan untuk memikat seseorang yang disukai. Ilmu pengasih juga diharamkan kerana syirik dan menggunakan sihir tersebut. Perkara ini dilaporkan dalam hadis di bawah ini yang bermaksud,
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya jampi-jampi, azimat dan ilmu pengasih adalah perbuatan syirik." (Dilaporkan daripada Ibnu Hibban)
• Percaya selain Allah SWT
• Nazar adalah ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Nazar kepada selain Allah SWT adalah haram. Segelintir muslim bernazar kepada kubur ulama atau tempat-tempat yang dianggap keramat sedangkan perkara tersebut tidak memberikan manfaat seperti diterangkan dalam ayat berikut yang bermaksud,
“Semua yang kamu nafkahkan atau nazarkan, sesungguhnya Allah SWT mengetahuinya. Tidak ada seorang pembantu bagi orang-orang yang berbuat zalim.” (Surah Al-Baqarah, ayat: 270)
Nazar kepada selain Allah SWT diharamkan kerana:
1. Nazar hanya layak ditujukan kepada Allah SWT sedangkan nazar tersebut ditujukan kepada ciptaan Allah SWT
2. Ciptaan Allah SWT tidak dapat memberikan keberkatan tanpa keizinan Allah SWT.
• Penyembelihan korban kepada selain Allah SWT
Orang-orang musyrik melakukan penyembelihan haiwan korban kepada berhala-berhala untuk mendekatkan diri kepada berhala tersebut. Islam mengharamkan sembelihan tersebut berdasarkan sabda Rasulullah SAW.
“Ali berkata, ‘Rasulullah SAW bersabda kepadaku dengan empat ayat, ‘Allah SWT melaknat orang yang melakukan penyembelihan haiwan korban selain kepada Allah SWT, orang yang melaknat ibu bapa, orang yang melindungi penjahat dan orang-orang yang mengalihkan sempadan tanah miliknya.’ ” (Dilaporkan daripada Sahih Muslim)
Islam memelihara kemurnian tauhid dengan melarang penyembelihan korban di tempat-tempat yang digunakan untuk penyembelihan korban kepada berhala. Jika orang-orang yang tidak memahami Islam dengan baik menyaksikan penyembelihan tersebut dirisaukanakan diamalkan tanpa pengetahuan tentang perkara tersebut.
• Percaya kepada perasaan sial akan menimbulkan perasaan rendah diri atau putus asa dan mempunyai prasangka buruk dan tidak bergantung kepada Allah SWT. Larangan tersebut dilaporkan dalam hadis berikut,
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang membatalkan hajatnya kerana prasangka buruk, maka ia telah berbuat syirik.” Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah tebusan denda daripada perbuatan tersebut?” Beliau menjawab, “Ucapkan, Ya Allah tidak ada sesuatu kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak ada prasangka buruk kecuali prasangka buruk yang datang daripada-Mu, dan tidak ada Tuhan melainkan Engkau.”
(Dilaporkan daripada Imam Ahmad)
Orang-orang yang mempercayai perkara sial akan membatalkan setiap rancangan yang dibuat kerana percaya amalan sial akan berlaku jika meneruskan rancangan tersebut.
BAHAYA SYIRIK
1. Dosa syirik tidak diampunkan.
Syirik dapat menyebabkan seorang Muslim terkeluar daripada Islam, maka semua amalannya ditolak dan dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik. Dia akan mengampuni segala dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang menyekutukan Allah SWT maka ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisa’, ayat: 48)
2. Dosa syirik akan kekal
Orang-orang yang mengamalkan syirik tidak akan masuk syurga. Allah SWT menerangkan bahawa orang-orang yang mensyirikkan Allah SWT tidak akan mencium bau syurga seperti dilaporkan dalam firman Allah SWT di bawah ini yang bermaksud,
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya Allah SWT ialah Al-Masih putera Maryam.’ Padahal al-Masih berkata, ‘Hai Bani Israil, sembahlah Allah SWT Tuhan-ku dan Tuhanmu.’ Sesungguhnya orang yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, Allah SWT mengharamkan syurga kepadanya dan tempatnya adalah neraka. Tidaklah ada seorang penolong pun bagi orang-orang zalim.”
(Surah al-Maidah, ayat: 72)
Ayat di atas menerangkan bahawa Allah mengharamkan syurga kepada orang-orang yang mensyirikkan Allah.
3. Dosa syirik menghapuskan kebaikan.
Syirik merupakan dosa besar, orang yang mengamalkan syirik akan menghapuskan semua amalan kebaikan yang lain. Perkara ini diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi sebelum kamu, ‘Jika kamu menyekutukan Allah SWT, nescaya akan hapuslah amalanmu dan kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.’ ” (Surah Az-Zumar, ayat: 65)
4. Islam melarang memohon keampunan kepada orang yang mengamalkan syirik. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Tidaklah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohon keampunan kepada Allah SWT bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah saudara mara. Ini kerana sudah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahanam....” (Surah at-Taubat, ayat: 113 hingga 114)

ISLAM MENGHANCURKAN KESYIRIKAN
Islam menghalang amalan syirik dengan mengharamkan semua perkara yang dapat menyumbang kepada amalan syirik ialah:
1. Islam melarang mengagungkan nabi secara melampau. Umat nabi-nabi sebelumnya telah mengagungkan nab-nabi mereka secara melampau bahkan menyembahnya. Oleh itu, Rasulullah menghalang umatnya mengagungkan beliau seperti dilaporkan dalam hadis di bawah ini yang bermaksud,
Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah engkau mengagungkan aku seperti kaum Nasrani mengagungkan Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah SWT, maka katakanlah hamba Allah SWT dan rasul-Nya.” (Dilaporkan daripada Muttafaq Alaih)
2. Melarang mengagungkan ulama secara melampau
Kaum Nasrani juga mengagungkan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka secara melampau. Mereka mengamalkan undang-undang yang diadakan oleh rahib-rahibnya dan meninggalkan undang-undang Allah SWT.
Sebahagian Muslim juga melakukan syirik dengan mengagungkan ulama secara melampau. Mereka menziarahi kubur-kubur ulama dan meminta keberkatan daripada kubur tersebut.
3. Melarang menyembah atau memuja kubur ulama
a. Islam melarang menjadikan kubur sebagai tempat melakukan ibadah seperti mana yang dilaporkan dalam hadis berikut.
Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah orang-orang sebelum kamu telah menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadah. Ingatlah, jangan kamu menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, kerana aku melarang kamu melakukan perkara seperti itu.” (Dilaporkan daripada Sahih Muslim)
Rasulullah SAW melarang beribadah di kubur-kubur nabi. Rasulullah SAW khuatir sekiranya perbuatan menjadikan kubur sebagai sembahan ini diwarisi oleh generasi selepas sekaligus menyebabkan mereka tersesat.
b. Islam melarang solat menghadap ke arah kubur sebagaimana yang dilaporkan dalam hadis berikut.
Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah engkau duduk di atas kubur dan janganlah engkau solat menghadap kubur.” (Dilaporkan daripada Sahih Muslim)
c. Islam melarang meninggikan kubur kerana risau amalan tersebut untuk bermegah-megah dan generasi seterusnya akan menjadikan kubur sebagai tempat sembahan. Larangan tersebut dilaporkan dalam hadis berikut,
Nabi Muhammad SAW menghantar Ali dan melarang meninggikan kubur, kecuali menggunakan tanah daripada kubur itu sendiri. (Dilaporkan daripada Sahih Muslim)
Jika kubur tersebut ditinggikan dengan menggunakan tanah asal daripada penggalian tersebut maka kubur tersebut tidak terlampau tinggi dan tidak mempunyai niat untuk kemegahan.
d. Melarang memuja pokok-pokok dan batu-batu besar
Orang-orang musyrik Mekah menyebabkan patung besar seperti Lata dan pohon besar seperti Uzza serta batu besar seperti Manat. Orang-orang Nusantara juga menyembah patung, pokok dan batu besar sebelum kedatangan Islam. Amalan tersebut masih diamalkan oleh segelintir muslim dan telah diubahsuai sehingga kelihatan seperti amalan Islam.
Muslim tidak lagi menyembah patung, pokok dan batu besar tetapi mereka memuja pokok dan batu besar dengan bernazar dan mengadakan majlis kenduri serta menggantungkan kain putih di pokok dan batu besar serta kubur ulama. Mereka melakukan amalan-amalan tersebut sekadar meneruskan amalan nenek moyangnya.
KESAN AMALAN SYIRIK TERHADAP MANUSIA
1. Menzalimi diri sendiri
Orang-orang yang mengamalkan syirik akan menzalimi dirinya. Mereka menjadikan dirinya sebagai hamba kepada sembahan-sembahan tersebut. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Dan ingatlah semasa Luqman berkata kepada anaknya, ia mengajar anaknya, ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah SWT. Sesungguhnya mempersekutukan Allah SWT adalah satu kezaliman yang besar.’ ” (Surah Luqman, ayat: 13)
2. Menjadi Penakut
Orang-orang yang mempercayai khurafat dan tahayul menjadi penakut, kurang percaya diri dan bersangka buruk terhadap orang lain. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Kami akan campakkan ke dalam hati orang-orang kafir perasaan takut, disebabkan mereka menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang tidak diturunkan maklumat oleh Allah SWT.” (Surah Ali-Imran, ayat: 151)
PERBINCANGAN
1. Kenapa Islam tidak membenarkan perantaraan dalam penyembahan?
Perantaraan dalam ibadah merupakan amalan syirik yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Ibadah merupakan hubungan dua hala antara manusia dengan Allah SWT yang dapat dilakukan secara langsung tanpa memerlukan perantaraan.
Agama-agama lain menggunakan orang-orang yang dianggap suci dalam kalangan mereka sebagai penghubung antara mereka dengan Allah SWT. Penggunaan perantara ini bermakna menyekutukan Allah SWT dengan ciptaan-Nya dan ia tergolong dalam amalan syirik. Sedangkan syirik merupakan dosa besar seperti dilaporkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah SWT, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”
(Surat An-Nisa', ayat: 48)
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa lain selain syirik jika mereka bertaubat. Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik kerana manusia menyekutukan Allah SWT dengan ciptaan-Nya.
Analogi
Seorang raja mempunyai seorang gundik yang diberikan apa sahaja yang diminta. Senyap-senyap gundik tersebut mempunyai lelaki lain yang sentiasa mengunjunginya tanpa diketahui oleh raja tersebut. Pada suatu hari, raja datang secara mengejut ke rumah gundik tersebut dan dia melihat gundik kesayangannya bersama lelaki lain. Raja berasa sangat murka lalu menjatuhkan hukuman ke atas lelaki dan perempuan tersebut kerana kecurangan terhadap beliau.
Analogi ini bukan untuk menyamakan sifat Allah SWT dengan manusia tetapi jika raja yang mempunyai kekuasaan terhad (hanya kuasa memerintah negeri) marah apabila dicurangi, apatah lagi Allah SWT yang Maha berkuasa (kuasa seluruh alam) akan lebih marah apabila hamba-Nya curang dengan menyekutukan-Nya.
2. Bolehkah mandi bunga untuk membuang sial?
Mandi bunga mempunyai dua makna iaitu sebagai terapi menggunakan wangi-wangian atau mempercayai bomoh untuk membuang sial. Fungsi mandi bunga sebagai terapi tidak mempunyai masalah tetapi jika dilakukan kerana percaya bahawa air bunga tersebut mempunyai kuasa untuk membuang sial, maka ia termasuk dalam amalan syirik. Sedangkan amalan syirik tidak diampunkan oleh Allah seperti diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah SWT, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”
(Surat An-Nisa', ayat: 48)
Selain itu, jika mandi bunga untuk terapi dilakukan oleh perempuan tidak ada masalah tetapi jika dilakukan oleh lelaki maka akan menyebabkan pendedahan orang kepada lelaki tersebut. Oleh itu, kebarangkalian berlaku pencabulan dan rogol sangat tinggi. Perkara ini sering dilaporkan dalam surat kabar harian.
Kesimpulan
1. Syirik merupakan dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Oleh itu, berhati-hatilah terhadap amalan yang termasuk dalam amalan syirik .
2. Sebahagian muslim yang mensyirikkan Allah SWT secara tidak sedar sehingga akidahnya telah terbatal. Maka, bertaubatlah dengan segera.
3. Sesungguhnya, percaya kepada kekuatan selain Allah SWT adalah amalan syirik yang dapat membatalkan akidah seseorang

Do’a Sesudah Belajar

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّـبَاعَه وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
Aallohumma Arinal Haqqo  Haqqon Warzuqnattibaa’ahu. Wa Arinalbaathila Baa-Thilan Warzuqnajtinaabahu
Artinya : Ya Alloh, tunjukkanlah kepada kami kebenaran sehinggga kami dapat mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kejelekan sehingga kami dapat menjauhinya

Komentar